Mar 06, 2023 - FASSelangor FC menambah satu mata dalam perlawanan ketiga Liga Super 2023 selepas seri 1-1 menentang Sri Pahang FC di Stadium MBPJ semalam.
Statistik perlawanan semalam melihat 68% penguasaan bola, 80% ketepatan hantaran, 11 percubaan dan 15 sepakan penjuru. Satu jaringan gol semalam adalah daripada sepakan penjuru daripada Yohandry Orozco dan disudahkan oleh Kapten pasukan, Brendan Gan pada minit ke-88 perlawanan.
Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, pasukan telah mengawal perlawanan dengan baik biarpun perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.
"Sebagai jurulatih, saya rasa pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka berikan komitmen yang penuh dalam latihan dan kerana itulah kita dapat rekod yang baik setakat ini. Kalau kita lihat secara keseluruhan, kita masih membuat banyak percubaan dan mengawal perlawanan dengan baik.
Walau bagaimanapun, banyak yang perlu kita perbaiki terutama kesalahan dari segi individu. Saya yakin dengan kualiti pemain yang sedia ada, kita akan perbaiki dan tampil lebih baik dari masa ke semasa. Buat masa sekarang, kita akan terus fokus untuk perlawanan seterusnya," yakin Tan Cheng Hoe.
Daripada perlawanan #SELSRP semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Penampilan ke-50 pemain pertahanan Selangor FC
Sharul Nazeem, atau lebih dikenali dengan panggilan Afro merupakan pemain pembangunan Selangor FC yang telah beraksi bersama Selangor FC 2, Presiden Selangor dan Belia Selangor sebelum dinaikkan pangkat ke skuad utama Gergasi Merah pada tahun 2021. Perlawanan Liga Super ke-7 musim tersebut menjadi perlawanan debut beliau. Sejak dari hari itu, beliau berjaya beraksi dengan konsisten sehingga mencapai penampilan ke-50 beliau semalam.
Khairulazhan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan
Penjaga gawang utama, Khairulazhan Khalid telah beraksi dengan baik sepanjang tiga perlawanan dengan dua perlawanan tanpa bolos. Beliau sekali lagi menunjukkan kualiti yang dimiliki setelah menyelamatkan dua percubaan bahaya daripada tandukan Kpah Sherman dan sepakan penalti Stefano Brundo dalam perlawanan semalam. Oleh itu, Malaysian Football League (MFL) telah memilih beliau sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Yohandry Orozco kembali menambah sengat bersama pasukan
Pemain import baharu Selangor FC, Yohandry Orozco kembali beraksi bersama pasukan setelah mengalami kecederaan kecil dalam perlawanan pertama Selangor menentang Kelantan United. Beliau sangat tidak sabar untuk beraksi bersama rakan sepasukan sebaik sahaja pulih sepenuhnya sebelum perlawanan semalam. Orozco dimasukan di separuh masa kedua perlawanan pada minit ke-62 dan 'assist' pertama beliau terhasil setelah membuat sepakan penjuru tepat ke Brendan Gan untuk jaringan tunggal pasukan dalam perlawanan ini.
Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada 8,504 penyokong yang telah hadir ke Stadium MBPJ bagi memeriahkan lagi perlawanan #SELSRP semalam biarpun terpaksa menghadap panas terik dan hujan lebat sepanjang 90 minit bersama pasukan.
Selangor FC sepenuhnya di belakang pasukan untuk perlawanan seterusnya menentang Penang FC pada 12 Mac ini. Semoga berjaya Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!